Profil Persatuan Dali'il Khairat Malaysia
Latar belakang
Persatuan Dali’il Khairat Malaysia (“PDKM”) ditubuhkan pada 18 Disember 2023 di bawah Akta Pertubuhan 1966, Malaysia. Sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan, bukan politik, dan tidak berasaskan keuntungan, PDKM berperanan sebagai pendukung utama dalam menyokong pengembangan pusat-pusat pengajian Al-Quran di seluruh Malaysia serta negara-negara di Nusantara. Persatuan ini beraspirasi untuk menjadi perintis dalam merumuskan dasar dan rangka kerja yang membentuk garis panduan operasi, struktur organisasi, dan prosedur yang memastikan kelangsungan dan kejayaan setiap cawangan yang berada di bawah naungannya
“PDKM” didirikan dengan tujuan mulia yang utama untuk menjadi pusat pengajian Islam yang diiktiraf bukan hanya dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa. Fokus utama persatuan ini adalah melahirkan dan membentuk individu yang berkualiti dalam ilmu agama, khususnya dalam Al-Quran. Di PDKM, para pelajar akan menghafal Al-Quran beserta tajwid di bawah bimbingan guru-guru terbaik dan berkelayakan. Selain itu, pengajian Hadith juga ditekankan bagi memperkukuh pemahaman serta penghayatan terhadap ajaran Islam. Pendekatan tarbiyah dan tazkiyyah diberikan sebagai pengisian penting sepanjang tempoh menuntut ilmu, menjadikan proses pembelajaran lebih menyeluruh dan bermakna.
Beraspirasikan tokoh-tokoh ulama’ nusantara dan ulama’ kontemporari – ianya boleh dijadikan rujukan utama dalam pengajian Islam di Malaysia. “PDKM” berazam menyediakan platform yang kukuh bagi pembelajaran, penyelidikan, dan penyebaran ilmu pengetahuan agama yang autentik dan relevan. Melalui pendekatan holistik, “PDKM” berusaha menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berakhlak mulia, berdaya saing, dan bertanggungjawab kepada masyarakat Malaysia.
Sebagai payung kepada cawangan-cawangan pusat pengajian Al-Quran di seluruh negara dan Nusantara, “PDKM” komited dalam memastikan setiap pusat pengajian di bawah naungannya berkembang maju dan berfungsi secara efektif. Dengan dasar dan polisi yang jelas, serta sokongan yang berterusan, “PDKM” berdiri teguh sebagai institusi yang menjanjikan kualiti pengajian Islam yang unggul dan diiktiraf.
Objektif Penubuhan Persatuan Dali’il Khairat Malaysia
Persatuan Dali’il Khairat Malaysia “PDKM” ditubuhkan dengan visi untuk menjadi pusat pengajian Islam bertaraf antarabangsa yang berfungsi sebagai peneraju dalam melahirkan tokoh-tokoh agama dan bakal ulama’ yang bukan sahaja hafaz Al-Quran dan Hadith tetapi juga mendalami dan memahami kandungan serta pengaplikasiannya dalam kehidupan seharian.
Objektif utama persatuan ini adalah untuk melahirkan individu yang berpengetahuan luas dalam bidang agama, menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan serta memiliki kemahiran praktikal yang relevan dengan keperluan semasa. Untuk mencapai matlamat ini, persatuan merancang untuk mewujudkan beberapa cabang utama dalam pengendalian aktivitinya yang sebagai permulaan adalah seperti berikut:
1. Pendidikan:
Persatuan berhasrat menyediakan pelbagai program pendidikan yang komprehensif bagi memastikan pelajar dan ahli dapat menguasai ilmu-ilmu penting seperti Bahasa Arab, Ulum Al-Quran, Ulum Hadith, Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyyah, dan lain-lain. Program ini bertujuan untuk melahirkan individu yang mahir dalam bidang keagamaan dan mampu mengaplikasikan ilmu tersebut dalam konteks kontemporari.
2. Kemahiran:
Di samping pendidikan agama, persatuan juga memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran praktikal. Pelajar dan ahli akan didedahkan kepada ilmu-ilmu kemahiran seperti kerjaya perunding seperti dalam bidang kewangan, pematuhan syariah, perakaunan , pereka grafik , multimedia dan Teknologi Informasi – untuk membentuk individu yang serba boleh dan bersedia menghadapi cabaran dunia masa kini.
3. Keusahawanan:
Persatuan turut berhasrat untuk menceburi bidang ekonomi dan perniagaan dengan mewujudkan keusahawanan dalam perkongsian perniagaan yang berdaya maju bersama ahli-ahli. Ini termasuk menerokai sektor-sektor perniagaan yang jarang atau kurang dipelepori oleh orang Islam, sekaligus membuka peluang ekonomi yang lebih luas dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Dengan objektif-objektif yang jelas dan terancang, “PDKM” bertekad untuk menjadi peneraju dalam memartabatkan pendidikan Islam, membentuk individu yang berilmu dan berkemahiran, serta memperkukuhkan ekonomi dan perniagaan dalam kalangan umat Islam. Persatuan ini yakin bahawa melalui usaha-usaha ini, ia dapat menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ummah yang lebih cemerlang dan progresif.
Tambahan pula, tujuan penubuhan termasuk:
I. Membentuk ahli-ahli dan masyarakat yang bersatu padu, bersemangat, dan berorientasikan prinsip-prinsip rukun Islam berteraskan sunnah Rasulullah SAW bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak mulia, beriman tinggi serta saling menyokong antara ummah.
II. Meningkatkan kesedaran tentang pentingnya peranan dalam pembangunan negara, pembangunan sahsiah diri, dan mencegah kegiatan tidak sihat seperti jenayah dan gejala sosial.
III. Menggalakkan penyertaan sukarelawan dalam pelbagai aktiviti dan acara persatuan sebagai satu usaha memperkasakan komuniti, memupuk semangat kerjasama, dan meningkatkan pengalaman serta kemahiran individu dalam perkhidmatan masyarakat.
IV. Menjadi pengantara antara masyarakat dengan pemerintah dan pihak berkuasa mengenai permasalahan masyarakat.
V. Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain yang memiliki matlamat yang sama.
VI. Menjaga kebajikan di kalangan ahli-ahlinya.
Misi:
Menjadi pusat pengajian Islam (Islamic Center) bertaraf antarabangsa yang menghasilkan tokoh-tokoh agama ,bakal ulama’ dan Waliyyul Amri yang berkualiti serta memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat yang berakhlak mulia dan bertanggungjawab.
Visi:
Menjadi rujukan utama dalam pengajian Islam di Malaysia serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, beramal soleh, dan berperibadi mulia.
Nilai (Values):
- Kepatuhan kepada Al-Quran dan Sunnah.
- Keharmonian dan kesepaduan dalam masyarakat.
- Keadilan, kebenaran, kelestarian dan kesederhanaan.
- Keteguhan, ketabahan, dan kecekalan.
- Kerjasama dan semangat Ikhwan muslimin.
- Kesetiaan kepada negara dan agama.
- Keberanian dan ketelusan dalam berbuat kebaikan.
Penutup
Dengan ini, “PDKM” berazam untuk menjadi satu entiti yang menyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan Islam dan pembangunan masyarakat yang berakhlak mulia di negara ini.
Dengan semangat kesungguhan dan tekad yang kuat, “PDKM” berusaha untuk terus menjadi pelopor dalam penyampaian ilmu pengetahuan Islam dan memperkukuhkan peranan masyarakat dalam memartabatkan ajaran Islam di negara ini.
TAG LINE :
“Menyemai Ilmu, Membentuk Akhlak, Merentas Generasi”
“Membawa Cahaya Ilmu, Mengukir Keharmonian, Mencorakkan Masa Depan”
“Bersama Islam, Mengukuhkan Bangsa, Menerangi Jiwa”
PENGESAHAN AKAUN BANK
Nama Bank : Maybank Berhad, Bandar Baru Uda
No Akaun : 5511 3756 6156
Nama Akaun : Persatuan Dali’il Khairat Malaysia
Alamat Bank : No. 25,27 & 29, Jalan Padi Emas 1/3, Bandar Baru Uda, 81200 Johor Bahru,
Johor
Pegawai yang dirujuk : Ustaz Khairul Isham Nazri Maidin
No Tel : +6011-1199 4475
Matlamat Pendidikan
Untuk mencapai matlamat di atas, warga “PDKM” mengharapkan keredhaan dan bantuan (nusrah) Allah SWT agar dapat memenuhi objektif-objektif berikut:
Memahami makna setiap ayat Al-Quran dan cabang-cabang ilmu yang berkait rapat dengan Al-Quran yang merupakan sumber utama ilmu.
Menghargai serta menyanjungi pengorbanan Rasulullah S.A.W, para sahabat, dan para ulama’ yang terdahulu dengan meneliti kehidupan mereka.
Memahami semua bab dalam ilmu fekah dan akidah supaya dapat menjalani kehidupan dengan amalan yang betul di sisi Allah.
Memahami metodologi periwayatan hadith, usul fekah, dan akidah Islam bagi memastikan ketepatan ilmu.
Mampu merujuk sumber ilmu dalam bahasa asal, iaitu Bahasa Arab, dengan lebih tepat dan mendalam.
Bersedia dengan akhlak dan kemahiran yang diperlukan untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan cara yang diredhai Allah.
Pengasas: Maklumat Ringkas tentang Pengasas “Our Story”
Persatuan Dali’il Khairat Malaysia (PDKM) bermula dengan idea inovatif yang diilhamkan oleh individu-individu yang penuh semangat dalam memajukan umat melalui pendidikan agama Islam. Dengan latar belakang pendidikan agama yang kukuh, mereka berusaha untuk menggerakkan pusat pengajian Al-Quran dan hadith di seluruh Malaysia.
Minat mendalam mereka dalam pendidikan agama melihat potensi besar dalam menubuhkan persatuan ini sebagai platform untuk mencapai matlamat dalam Misi & Visi persatuan. Pengalaman mereka sebagai tenaga pengajar dan dalam mendirikan madrasah di beberapa tempat menjadi asas kukuh untuk merealisasikan impian ini.
Dalam era di mana pembangunan belia dan insan semakin mundur, anak-anak muda sering leka dengan teknologi digital sehingga melupakan nilai-nilai penting seperti memuliakan ulama, menghormati orang tua, kasih sayang kepada kanak-kanak, dan ehsan kepada makhluk bernyawa. Oleh itu, PDKM komited untuk memperluaskan pendidikan agama kepada semua peringkat umur sebelum generasi muda terjun ke dalam dunia pekerjaan atau kehidupan keduniaan.
PDKM bertekad untuk menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam masyarakat melalui pendidikan agama yang berterusan dan berkualiti, serta memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap individu.
Kata-Kata Aluan dari Pengasas (Message from Founder)
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat, serta pengikut baginda hingga ke hari kiamat.
Dali’il Khairat bermaksud “Petunjuk kepada Kebaikan”. Istilah ini merujuk kepada doa, zikir, dan selawat yang dikumpulkan untuk memuji dan mengingati Allah serta Rasul-Nya, Nabi Muhammad SAW. Kitab “Dali’il Khairat” yang terkenal, disusun oleh Imam al-Jazuli, adalah salah satu karya yang paling dihargai dalam kalangan umat Islam untuk meningkatkan spiritualiti dan mendekatkan diri kepada Allah.. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Mulk, ayat 2: “Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya”.
Selaku Pengerusi, saya berasa amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberi kesempatan untuk berkongsi visi dan hasrat persatuan ini dalam membangunkan insan muslim, khususnya di kalangan masyarakat Malaysia dan negara-negara Nusantara serta rantau Asia Pasifik. Persatuan ini berfungsi sebagai platform yang penting dalam menubuhkan dan memupuk pusat-pusat pengajian yang menyediakan pendidikan agama yang berkualiti kepada semua peringkat umur. Kami bukan hanya tertumpu kepada pendidikan Al-Quran dan Hadith tetapi juga memperluaskan fokus kepada kemahiran dan keusahawanan untuk membentuk individu yang seimbang dan berdaya saing.
Melalui pengalaman kami sebagai tenaga pengajar dan usaha gigih dalam mendirikan Pusat Pengajian Quran, kami telah berjaya meletakkan asas yang kukuh untuk merealisasikan misi mulia ini. Kami komited untuk memperluaskan akses kepada pendidikan agama, kemahiran, dan usahasama pengkongsian perniagaan dengan memastikan ia diintegrasikan dalam kehidupan ahli-ahli masyarakat dan pelajar pengajian Al-Quran, terutama sebelum mereka memulakan perjalanan kerjaya keperluan dunia mereka.
InsyaAllah, Kami percaya bahawa dengan ilmu dan pendidikan agama yang mantap, kita dapat membina masyarakat yang bukan sahaja kaya dengan ilmu pengetahuan tetapi juga teguh dalam keimanan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik kamu adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya” (HR Bukhari). Oleh itu, kami ingin menjemput anda semua untuk bersama-sama dengan kami dalam usaha mulia ini. Bersama-sama, kita dapat mencipta masa depan di mana ajaran Islam berakar umbi dalam kehidupan harian kita, membina masyarakat yang diperkaya dengan ilmu dan iman. Jadilah orang yang bijaksana, yang sentiasa memikirkan ehwal akhirat, kerana dengan demikian pasti semua urusan dunia akan dapat disempurnakan.
Akhir kata, marilah kita berganding bahu dan bekerjasama untuk memastikan matlamat dan visi persatuan ini tercapai. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati setiap usaha kita.
Sekian, terima kasih.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Ustaz Haji Muhammad Areeg Shafbly
Pengasas Persatuan Dali’il Khairat Malaysia
Maklumat Keahlian
KEAHLIAN
A. Ahli Biasa:
a) Warganegara Malaysia
b) Kelayakan umur: 18 tahun
c) Kawasan/Negeri Tempat Tinggal Ahli: Terbuka
d) Keturunan & Agama: Pelbagai bangsa & Islam
e) Jantina: Lelaki dan Perempuan
** Yuran tahunan : RM50.00 (Ringgit : Lima Puluh shj)
B. Ahli Seumur Hidup:
Terbuka kepada ahli biasa yang membayar yuran sekaligus.
** Yuran seumur hidup : RM500.00 (Ringgit: Lima Ratus Shj)
C.Ahli Bersekutu:
Terdiri daripada Syarikat Korporat dan terbuka kepada individu bukan warga negara Malaysia. Mereka tidak boleh mengundi atau memegang jawatan dalam pertubuhan.
** Yuran tahunan : RM100.00 (Ringgit : Satu Ratus Shj)
Yuran seumur hidup : Ringgit: 1,000.00 (Satu Ribu Shj)
D.Ahli Kehormat:
Terdiri daripada individu yang berjasa kepada masyarakat dan dapat memberikan sumbangan kepada pertubuhan. Mereka ditentukan oleh jawatankuasa dan terkecuali dari pembayaran yuran.
** Yuran Tahunan : Tiada
Keahlian Pertubuhan:
Persatuan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat yang berumur 18 tahun ke atas. Kami juga mengalu-alukan mereka yang tinggal di luar negara Malaysia sebagai ahli bersekutu.
**Demografi Ahli: Tinjauan tentang siapa ahli-ahlinya.
(Gambaran peta Malaysia meliputi Sabah & Sarawak beserta negara-negara Nusantara eg: Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand, Mynmar, Filipina)
**Faedah Keahlian: Faedah utama dan perkhidmatan yang diberikan kepada ahli.
a) No Siri keahlian & paparan di laman web
b) Pelekat kenderaan
c) Diskaun / harga Istimewa langganan perkhidmatan & perniagaan perkongsian Persatuan
d) Penerbitan Bulletin / Majalah / Risalah
e) Tawaran harga borong dagangan
Struktur Organisasi PDKM
Format Sukatan Pelajaran
A.Al-Quran dan Hadith
I. Tahsin & Tajwid Al-Quran
- Fokus: Meningkatkan kemahiran bacaan Al-Quran dengan betul dan fasih.
- Fokus: Mempelajari dan mengamalkan hukum-hukum tajwid dalam bacaan Al-Quran.
II. Hafazan Al-Quran
- Fokus: Menghafal ayat-ayat pilihan Al-Quran.
B. FARDU AIN
i. Tauhid
- Fokus: Mempelajari asas-asas kepercayaan dalam Islam.
ii. Muamalat
- Fokus: Memahami prinsip dan amalan interaksi sosial dan ekonomi menurut perspektif Islam.
iii. Tasawuf
- Fokus: Mendalami ilmu kerohanian dan amalan-amalan sufi untuk mencapai kesucian hati dan kedekatan dengan Allah.
Jadual Harian Pelajar
4.30 pagi: Bangun tidur & Persiapan
5.00 pagi: Qiamullail, Solat Subuh Berjemaah, Kelas ulangan hafazan
7.00 pagi: Kelas Tasmiq / Saba’
8.00 pagi: Sarapan & Khidmat
9.00 pagi : Kelas Al-Quran 1
10.30 pagi: Solat Doha / rehat
11.00 pagi : Kelas Al-Quran 2 (Ulangan Hafazan & Mokhtar)
1.00 ptg: Makan Tengah Hari, Solat Zohor Berjemaah, Rehat
3.00 ptg: Kelas Fardu Ain
4.30 ptg: Solat Asar Berjemaah
5.30 ptg: Riadhah,
6.30 ptg: Makan Malam , Solat Maghrib Berjemaah,
7.30 mlm: Kelas Hafazan
9.30 mlm: Solat Isyak Berjemaah
10.15 mlm: Tidur
Sumber Kewangan
- Sumbangan orang ramai
- Yuran pengajian pelajar
- Penajaan
- Perniagaan
Bahasa Pengantar
- Bahasa Melayu
- Bahasa Arab
- Bahasa Inggeris
- Bahasa Urdu
- Bahasa Mandarin
Kapasiti Pelajar
- Bilangan Pelajar: 30-40 orang
- Bilangan Kelas: 3 kelas
Tenaga Pengajar
- Guru sepenuh masa dengan latar belakang pendidikan Islam yang kukuh
- Pembantu pengajar untuk setiap subjek, jika diperlukan
Alternatif Tambahan – Penggunaan Teknologi
- Memanfaatkan teknologi dalam pembelajaran seperti aplikasi Al-Quran dan tafsir digital.
Aktiviti Ekstrakurikulum
- Aktiviti yang menyokong pembangunan holistik pelajar seperti kem motivasi, kem ibadah, dan aktiviti sukan.
- Pembentukan kepimpinan diri melalui kegiatan kelab seperti Agro Pertanian, Perniagaan , Komunikasi (Bahasa) & pentadbiran pejabat.
- Kelab Sukan memanah, berenang, berkuda dan seni mempertahankan diri.
Penilaian dan Pemantauan
- Sistem penilaian berkala untuk menilai kemajuan pelajar dalam hafazan, tajwid, dan subjek-subjek lain.
- Sesi kaunseling dan bimbingan secara berkala untuk memastikan kesejahteraan emosi dan mental pelajar.
Program Khusus
- Program intensif hafazan Al-Quran pada musim cuti sekolah.
- Lawatan ilmiah dan ziarah ke tempat-tempat peninggalan sejarah Islam, industri pembuatan dan teknologi.